Jumat, 10 Juni 2011

Najib lancar myplan

PUTRAJAYA 10 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang bertujuan mentransformasikan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi memerlukan sokongan dan dokongan menyeluruh daripada rakyat.

Justeru, kata Perdana Menteri, kandungan RMK-10 perlu diterjemahkan dalam bentuk yang mudah difahami bagi membolehkan rakyat menerimanya sebagai dokumen yang bertujuan membawa manfaat secara keseluruhannya.

“Jika tidak, mungkin mesej yang terkandung dalam RMK-10 tidak dapat disampaikan dan mungkin ada yang terkeliru atau membuat terjemahan berbeza antara satu sama lain mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan myplan-Rancangan Malaysia Ke-10 Anda (myplan) iaitu penjenamaan baru kepada RMK-10 sempena ulang tahun pertama pelancarannya di sini hari ini.

Myplan merupakan inisiatif kerajaan untuk mewujudkan kesedaran serta mendidik rakyat mengenai apa yang mereka boleh kecapi menerusi RMK-10, seterusnya membantu merealisasikan Wawasan 2020.

Najib menambah, menerusi myplan juga, kerajaan akan menggunakan pelbagai pendekatan seperti media cetak dan elektronik bagi memastikan rakyat benar-benar memahami kandungan serta maksud pelaksanaannya.

Dengan cara itu juga, tambah beliau, rakyat dapat melihat RMK-10 dari perspektif faedah secara langsung dan tidak langsung yang mereka boleh terima.

“Memandangkan myplan adalah ‘dokumen kerana dan untuk rakyat Malaysia’ maka ia mestilah difahami dalam bentuk sedemikian rupa,” katanya.

0 komentar:

Posting Komentar


Top